Blogger Backgrounds

Tuesday 21 June 2011

Kata Hikmah Pedoman Hidup..

3 perkara yang meningkatkan kemuliaan

  1. Memaafkan kesalahan orang lain dan menghapuskan bekas-bekasnya
  2. Memberi sesuatu kepada orang yang tidak pernah memberinya sesuatu
  3. Menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskan hubungan silaturrahim dengan dia.

Doa dari Al-Quran

Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.
(Al- Araf [7] : 23 )

3 perkara untuk mendapat 3 perkara

Barangsiapa yang diilhamkan tiga perkara, maka dia akan mendapat tiga perkara:
  1. Orang yang diilhamkan untuk berdoa, ianya akan dikabulkan
  2. Orang yang ditunjukkan untuk istighfar, dia akan diampunkan
  3. Orang yang dianugerahi petunjuk untuk bersyukur, dia akan memperolehi tambahan rezeki.

Doa dari Al-Quran

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.
(Al Baqarah [2]:286)

Mengalami Musibah

Jika seseorang mengalami sebarang musibah, akibat dari amalannya yang buruk, kemudian dengan sedikit sahaja tumpuan kepada Allah, dan pengakuan ke atas kelemahannya, maka kemurahan Allah akan bersamanya dan musibah tersebut dijadikan asbab kebaikan yang besar bagi dirinya.
======
Nabi S.A.W yang mulia juga sering mengakui kelemahan sendiri apabila bermunajat kepada Allah, apalagi kita yang naif ini?

Jangan mencaci sesama kita

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w  sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.
Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w,  apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?
Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.
(Hadith Riwayat Ahmad)
===========
Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah?  Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

Doa dari Al-Quran

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai;  dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.  Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu).
(Al -Ahqaf [46] : 15)

No comments:

Post a Comment